13.4.15

KARIPAP PUSING MARVELES

Karipap merupakan sejenis makanan yang popular di Malaysia, Thailand dan Singapura.  Ia terdapat dalam pelbagai perasa, bergantung kepada inti di dalamnya.  Bahan utama inti karipap ialah daging dan kentang.  Ubi kentang sering digunakan sebagai inti karipap, adakalanya inti ubi keledek juga digunakan.  Nama karipap boleh dikaitakan dengan inti tersebut, yang menggunakan serbuk kari sebagai bahan perasa.  Adakalanya sekarang inti karipap boleh digunakan dengan lada hitam.  Isi ikan yang dibuat sebagai inti karipap dikenali sebagai temosa.

Di Johor karipap lebih dikenali sebagai epok-epok.  Dalam bahasa Inggeris pula ia dipanggil curry puffs tetapi bezanya ialah bentuk curry puffs tidak semestinya seperti karipap.  Juga, perbezaan dari segi pembuatan pastri karipap dan curry puffs tidak sama.  Lipatan pada atas karipap yang seperti satu corakan dipanggil kelim.

Terdapat berbagai jenis atau versi karipap dan Karipap Pusing adalah merupakan salah satu darinya. Karipap Pusing yang berinti merujuk kepada kulit yang digunakan bagi menghasilkan karipap itu. Kulit karipap ini digelek berlapis-lapis dan akan menghasilkan corak berlapis-lapis yang cantik dan lebih garing. Karipap ini juga lebih sedap berbanding karipap yang lain kerana kulitnya yang lebih garing & rapuh. Intinya dari keledek atau kentang dan bahan perasa dari serbuk kari.

Kuih karipap selalunya menjadi pilihan menu dalam mesyuarat kerajaan atau pun swasta.  Biasanya ia disertakan dengan kopi dan teh O panas menyebabkan keadaan mesyuarat rasmi lebih ceria.

Di atas adalah serba-serbi pengenalan tentang karipap kita hari ini.

So sekarang Kak Raja nak pulak share resipi Karipap Pusing Marveles dari blog Spices Journey Shiela - izinkan Kak Raja share di sini ye Shiela!  Karipap Pusing Spices Journey ini bukan sahaja sedap tapi boleh tahan simple jugalah...tapi kalau tak hendak banyak kerje buat karipap ini, bolehlah disediakan inti dan pastri dahulu boleh simpan dalam fridge sepertimana Kak Raja selalu buat.  Kalau tidak memang penat jugak le...ok jom kita intai resipi Karipap Pusing ini...selamat mencuba!

Bahan-Bahan

Doh A

  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 sudu besar tepung jagung
  • 2 sudu besar vegetable shortening
  • 2 sudu besar marjerin

Doh B

2 cawan tepung gandum
1/4 cawan minyak jagung
1 sudu kecil garam atau secukup rasa
1/2 cawan air  anggaran

Cara-Cara

  1. Satukan semua bahan Doh A.  Gaul hingga sebati dan boleh dikepal atau dibulatkan.  Bahagikan kepada 4 bahagian dan bentuklah menjadi bulat dan ketepikan.
  2. Untuk Doh B.  Panaskan minyak dan tuang ke dalam mangkok yang berisi tepung (lubangkan di bahagian tengah tepung untuk menuang minyak panas).  Gaul rata dengan senduk atau sudu (Awas Minyak Panas!) sehingga menjadi seperti serbok roti.  Sementara itu garam dibancuh dengan air hingga garam larut.  Tuangkan sedikit demi sedikit air garam ini ke dalam tepung sambil menguli sehingga sebati dan agak tak meletak kat tangan.  Doh ini dibahagi kepada 4 bahagian sama banyak dan dibulat2kan.
  3. Canaikan satu bahagian Doh B yang kita telah bahagikan tadi.  Letakkan satu bahagian Doh A di tengahnya.  Bungkuskan dan kemaskan padat.  Kermudian dibulatkan, ketepikan.  Ulang kaedah yang sama untuk baki doh-doh selebihnya.
  4. Doh yang telah disatukan tadi, dicanai sederhana ketebalannya.  Tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis.
  5. Kemudian digulung menjadi selinder yang panjang.
  6. Kemudian dicanai sekali lagi sederhana tebal juga.
  7. Gulung semua menjadi selinder.
  8. Ulang proses yang sama untuk doh yang selebihnya.
  9. Kemudian doh ini direhatkan sebentar anggaran 15 minit agar ia sebati dan lembut.
  10. Ambil satu bahagian doh dan potongkan kepada 6 kepingan.
  11. Ambil sekeping doh yang telah dipotong dan canaikan bentuk bulat atau bujur sederhana tebal. Tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis.  Jika nipis ia susah dikendalikan dan mudah pecah semasa meletakkan inti.  Jika tebal pula tidak enak pula untuk dinikmati nanti.
  12. Letakkan inti (inti kentang ke inti sadin ke - lihat resipi dibawah) yang disukai di bahagian tengahnya, jangan penuh sangat sebab takut pecah pula dohnya.
  13. Lipat dan kemaskan tepinya agar tidak terbuka.
  14. Klimkan kemas agar tidak terbuka semasa proses menggoreng nanti.
  15. Ulangi proses yang sama hingga habis kesemua kepingan doh.
  16. Dah pun siap karipap kita.  Untuk satu adunan ini boleh menghasilkan 24 biji karipap pusing.
  17. Jika hendak freeze karipap ini, ada 2 kaedah.
 

Kaedah Frozen


  • Kaedah Pertama - Selepas siap karipap ini diklim terus susun dalam bekas kedap udara.  Susun ia satu-satu dan jarakkan supaya ia tak melekat-lekat nanti.  Tutup bekas kemas dan terus simpan dalam tempat beku dalam peti ais.  Bila nak goreng nanti keluarkan sebentar, dan goreng dalam minyak yang betul-betul panas.
  • Kaedah Kedua - Kita goreng dahulu setengah masak dalam minyak yang betul-betul panas.  Goreng sekejap sahaja.  Kemudian angkat.  Susun dalam bekas kedap udara dan simpan dalam bahagian beku dalam peti ais.  Bila nak makan keluarkan biarkan ia lembut baru goreng semula.

Kaedah Menggoreng Karipap

  1. Bagi yang nak makan terus, pastikan semasa menggoreng minyak betul-betul panas.  Cara menggoreng karipap pusing ini tak sama macam karipap biasa.  Kalau karipap biasa minyak tak boleh panas sangat nanti ia menggerutu dan menggelembung di permukaan karipap tu tapi sebaliknya karipap pusing kena goreng dalam minyak yang betul-betul panas supaya karipap ini cantik kejadiannya.  Api tidak boleh terlalu kecil nanti karipap ini akan serap minyak yang banyak dan buatkan kita muak bila menikmatinya.
  2. Goreng hingga ia kuning keemasan, kemudian angkat dan letakkan atas tisu dapur supaya minyaknya diserap.
  3. Kemudian bolehlah dihidang panas-panas.

INTI KENTANG

  • 4 biji kentang saiz besar - dipotong dadu kecil
  • 2 sudu besar udang kering - direndam hingga lembut kemudian kisar
  • 2 sudu besar ikan bilis - direndam lembut kemudian kisar
  • 3 ulas bawang merah - dikisar
  • 2 ulas bawang putih - dikisar
  • 10 tangkai cili kering - digunting2 kecil, rendam hingga lembut kemudian kisar (boleh kurangkan)
  • 3 sudu besar rempah kari
  • Garam & gula secukup rasa
  • 2 tangkai daun kari
  • Air secukupnya
  • Minyak untuk menumis
  1. Panaskan minyak.
  2. Tumiskan daun kari dan bahan kisar hingga harum dan garing
  3. Masukkan rempah kari dan masak lagi hingga garing
  4. Masukkan kentang dan tambahkan air
  5. Biarkan ia merenih dan kentang empuk
  6. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa
  7. Biarkan ia kering
  8. Angkat dan toskan minyaknya.

INTI SARDINE

  • 3 biji kentang bersaiz kecil - dipotong dadu
  • 1 tin besar sardin - ambil ikannya sahaja, buang tulang tengah dilenyek lumat
  • 3 ulas bawang merah - dikisar
  • 2 ulas bawang putih - dikisar
  • 1 inci halis - dikisar
  • 10 tangkai cili kering - digunting2, direndam hingga lembut dan kisar (boleh dikurangkan)
  • 1 sudu teh lada hitam - ditumbuk halus
  • 1/2 cawan air asam jawa
  • Garam & gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis
  1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan kisar hingga harum dan garing.
  2. Masukkan kentang dan air asam dan masak hingga kentang empuk
  3. Masukkan sardin dan lada hitam
  4. Masak lagi hingga pekat
  5. Perasakan dengan garam dan gula
  6. Angkat dan toskan minyaknya
Anda boleh pilih inti mana yang anda suka untuk inti karipap anda.






No comments:

Post a comment