10.8.16

KARIPAP BLACKPEPPER SEDAP SANGAT


Karipap merupakan sejenis makanan yang popular di Malaysia, Thailand dan Singapura.  Ia terdapat dalam pelbagai perasa, bergantung kepada inti di dalamnya seperti karipap daging, karipap ayam, temosa/karipap Ikan, karipap sardin atau karipap pusing.


Bahan utama inti karipap ialah daging dan kentang.  Ubi kentang sering digunakan sebagai inti karipap, adakalanya inti ubi keledek juga digunakan.  Nama karipap boleh dikaitkan dengan inti tersebut yang menggunakan serbuk kari sebagai bahan perasa.  Adakalanya sekarang, inti karipap boleh digunakan dengan lada hitam.  Isi ikan yang dibuat sebagai inti karipap dikenali sebagai temosa yang boleh didapati di negeri-negeri Pantai Timur seperti di Terengganu misalnya.  

Saya masih teringat kepada percutian saya dan keluarga di pantai timur baru-baru ini. Betapa sedapnya Temosa yang saya makan di Restoran Haiping di Kemaman yang popular dengan kopinya yang sangat sedap.  Masih terasa keenakan Temosa ini dengan isi ikannya dan kelapa yang sangatlah lemak manis-manis masin dengan bau halba yang sungguh menikam kalbu...hehehe!  Second day kononnya pergi lagi ke Restoran Haiping ini tapi hampa kerana pada hari yang kami pergi tu bukanlah hari orang hantar Temosa kat restoran tu, sedihnya! 

Di Johor karipap lebih dikenali sebagai epok-epok. Dalam bahasa Inggeris pula ia dipanggil curry puff, tetapi bezanya ialah bentuk curry puff tidak semestinya seperti karipap.  Juga perbezaan dari segi pembuatan pastri karipap dan curry puff tidak sama.  Lipatan pada atas karipap yang seperti satu corakan dipanggil kelim.

Kueh karipap selalunya menjadi pilihan menu dalam mesyuarat kerajaan atau pun swasta.  Biasanya ia disertakan dengan kopi dan teh O panas menyebabkan keadaan mesyuarat rasmi lebih ceria.


Semalam saya telah cuba membuat Karipap berinti daging blackpepper yang saya terjumpa di dalam salah satu blog ketika menggoogle berbagai jenis karipap kerana saya ini memang hantu karipap. Ape aje karipap memang saya tak tolak, malahan boleh makan beberapa ketul sekali hadap.  Itulah saya hantu karipap.   Buat karipap ini kadang-kadang pastrinya tak berapa nak menjadi tapi resipi yang saya dapat ini menghasilkan pastri yang sangat lembut dan tidak begitu rapuh (saya tak berapa suka yang terlampau rapuh tu).  Sudah pasti recipe ini is for keeps!


So rase nak share  resipi Karipap Blackpepper sedap Sangat dengan rakan-rakan pengunjung MyHome Recipes ni kerana kalau saya cakap pun tak guna selagi rakan-rakan semua tak mencuba. So apa kata, you all try buat karipap ini dengan mengguna resipi yang saya turunkan di bawah ini. Pasti tidak mengecewakan.  Apa lagi yang dinanti-nantikan, jomlah!.

RESIPI KARIPAP BLACKPEPPER SEDAP SANGAT

Bahan Doh

  • 1 kg tepung gandum
  • 3 senduk minyak masak (dipanaskan)
  • 3 biji limau kasturi (diambil airnya)
  • 4 cawan air sejuk dari peti ais

Cara-cara

  1. Panaskan minyak masak.
  2. Kemudian, tuangkan perlahan2 ke dalam tepung gandum yang telah dicampur dengan garam.
  3. Gaul mengguna sudip kayu sehingga nampak menjadi seperti serbuk roti
  4. Tuangkan air sejuk sedikit demi sedikit dan juga jus limau kasturi dan uli sehingga doh tak melekat di tangan (jangan terus tuangkan air, tuang sikit demi sedikit - biasanye air tak habis diguna)
  5. Perap doh di dalam bekas tertutup atau dalam bekas tupperware tertutup selama 10-15 minit untuk melembutkannya.
  6. Bulat2kan kecil atau mengikut saiz kehendak masing-masing (kalau saya suka besar sikit untuk memudahkan taruk inti nanti supaya tak terbuka, dan lebih kemas)
  7. Gelek dan isi inti (biar banyak, jangan kedekut inti supaya nampak cantik dan kembung sikit) serta boleh dibakar atau digoreng (jika ingin dijadikan frozen, goreng sebentar sahaja)

Bahan Inti

  • Beberapa biji kentang atau keledek atau kedua2nya campur sekali  (potong dadu)
  • Sebungkus daging/ayam kisar
  • 3 biji bawang besar - didadu
  • 3 ulas bawang putih -dicincang
  • 3 sudu besar rempah kurma
  • 2 sudu besar rempah sup
  • 2 sudu besar lada hitam yang telah ditumbuk kasar
  • Sedikit air
  • Daun sup/bawang - dihiris kasar
  • Garam/gula/perasa

Cara-cara

  1. Panaskan minyak masak
  2. Goreng kentang atau keledek separuh masak, angkat
  3. Tumiskan bawang besar dan bawang putih sehingga kekuningan dan naik bau
  4. Masukkan daging/ayam kisar dan kacau sehingga daging masak
  5. Masukkan rempah kurma dan rempah sup dan kacau lagi sehingga sebati
  6. Tuangkan sedikit air dan perlahankan api untuk biarkan rempah garing dan masak
  7. Setelah nampak rempah2 agak garing, masukkan kentang/keledek dan kacau lagi sebati
  8. Masukkan lada hitam garam gula dan perasa ikut tahap disukai 
  9. Masukkan daun sup/daun bawang yang dihiris kasar
  10. Siap

No comments:

Post a Comment